DALLAS – Lima anggota polis Dallas mati ditembak kumpulan penembak hendap ketika bantahan meletus di pinggir bandar raya itu susulan pembunuhan lelaki berkulit hitam yang ditembak polis di Minnesota dan Louisiana, minggu ini.
Ketua Polis Dallas, David Brown dalam satu kenyataan berkata, dua penembak hendap menyasarkan 11 anggota polis dengan tiga daripada mereka terbunuh.
Dua lagi anggota polis kini dirawat dan keadaan mereka dilaporkan kritikal.
“Gerakan memburu suspek kini digerakkan secara intensif,” katanya. Sebelum itu, stesen penyiar KABC melaporkan, tembakan dilepaskan ketika demonstrasi di Taman Belo Garden di Dallas.
Rakaman menunjukkan kehadiran ramai anggota polis yang berlindung di sebalik kenderaan di jalan raya.
“Ia malam yang sungguh menyedihkan. Kami berdukacita melaporkan bahawa pegawai polis yang kelima sudah meninggal dunia,” menurut Jabatan Polis Dallas di laman Twitter.
Polis terus-menerus berbalas tembakan dengan seorang suspek yang menyembunyikan diri di sebuah garaj di pusat bandar, berjam-jam setelah kejadian tembakan itu berlaku.
“Suspek sudah memberitahu para perunding kami bahawa ini semua akan berakhir tidak lama lagi, dan dia akan menyakiti dan membunuh lebih ramai daripada kami, maksudnya, pegawai penguatkuasaan undang-undang.
“Dan ada bom diletakkan di serata tempat ini di garaj dan pusat bandar,” kata Ketua Polis Dallas, David Brown.
Seorang wanita yang turut berada dalam garaj itu juga ditahan, bersama dua lagi suspek yang berada dalam kereta Mercedes dan seorang lagi lelaki yang menyerah diri kepada polis setelah polis memuat naik gambar dia memakai pakaian penyamaran dengan senapang di bahunya.
Mereka yang mempunyai permit diizinkan di bawah undang-undang untuk membawa senjata secara terbuka di Texas.
“Kami masih belum yakin bahawa kami sudah mengesan semua suspek,” kata Encik Brown.
Beberapa ratus orang hadir di rapat di Dallas itu, yang berakhir sejurus sebelum tembakan dilepaskan sekitar 9.00 malam waktu tempatan.
Tunjuk perasaan tersebut merupakan antara beberapa bantahan yang diadakan menyusuli insiden dua lelaki kulit hitam ditembak mati oleh polis di Minnesota dan Louisiana minggu ini, hingga Presiden Barack Obama merayu agar sistem polis disemak serta merta.
Jabatan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan menyekat 2.5 batu nautika ruang udara di bandar itu, dan menyatakan “hanya operasi pesawat bantuan di bawah arahan Jabatan Polis Dallas dibenarkan di ruang udara itu.”
Datuk Bandar, Mike Rawlings berkata kedua-dua White House dan Datuk Bandar Texas menawarkan bantuan. Dalam detik yang menyayat hati, Rawlings menyifatkan kejadian itu sebagai ‘pagi yang mendukacitakan’ bagi bandar itu.
“Kami sebagai sebuah bandar, sebuah negara, mesti bersatu padu dan menyembuhkan luka-luka yang kita semua alami dari masa ke semasa,” katanya.
Brown awalnya berkata dua pegawai polis sedang dibedah dan tiga dalam keadaan kritikal. Keadaan pegawai-pegawai lain masih belum jelas.
“Malam ini, dua penembak hendap menembak 10 pegawai polis dari tempat lebih tinggi semasa bantahan/rapat. Tiga pegawai polis mati, dua sedang dibedah dan tiga dalam keadaan kritikal,” kata Brown dalam satu kenyataan.
“Usaha menyeluruh untuk memburu para suspek sedang dijalankan. Tiada suspek ditahan sekarang ini. Kami berharap anda mengingati dan mendoakan kami malam ini,” tambahnya.
Jabatan Polis Dallas kemudian mengirimkan kicauan menerusi Twitter pada 12.13 tengah hari waktu Malaysia bahawa pegawai keempat mati. Seorang individu awam juga cedera.
Brown juga berkata polis sedang mencari seorang lelaki yang dilihat membawa senapang di bantahan itu hari ini. Jabatan polis menulis kicauan pada 12.27 tengah hari bahawa dia sudah menyerah diri.
Seorang lagi suspek berbalas tembakan dengan para pegawai SWAT, dan kini ditahan.
“Satu bungkusan yang mencurigakan ditemui berhampiran lokasi suspek. Bungkusan itu sedang diperiksa skuad pemusnah bom DPD,” menurut kicauan itu.
Bantahan tersebut merupakan antara tunjuk perasaan yang diadakan di beberapa bandar bagi membantah tindakan polis menembak mati dua lelaki Amerika-Afrika di Minnesota dan Louisiana minggu ini.
Tunjuk perasaan itu tercetus setelah Philando Castile, 32 tahun, ditembak mati oleh polis berhampiran St. Paul lewat malam kelmarin.
Teman wanita mangsa memuat naik ke Internet video secara langsung kejadian berdarah itu beberapa minit selepas mangsa ditembak mati, dan video itu tersebar luas.
Kematian mendiang Castile berlaku selang sehari selepas Alton Sterling, 37 tahun, ditembak mati di Baton Rouge, Louisiana. Mendiang Sterling dibunuh semasa satu pertelingkahan dengan dua pegawai polis berkulit putih. – REUTERS/BH ONLINE