SETIAP pasangan pengantin baharu pastinya mengharapkan majlis perkahwinan yang diadakan berlangsung meriah dan sempurna.
Bagaimanapun, impian itu tidak berlaku kepada pasangan dari China bernama Zhou Tian dan Wang Lei.
Ini kerana majlis perkahwinan mereka yang berlangsung pada 9 Julai lalu di sebuah dewan hotel di Xinxiang itu hanya dihadiri 10 orang tetamu, daripada 300 yang dijemput.
Lebih menyedihkan, beberapa jam sebelum majlis perkahwinan itu, pihak pengantin dimaklumkan bahawa jamuan makanan tidak dapat disediakan ekoran tukang masak tidak hadir ke tempat kerja kerana keadaan cuaca teruk.
Hari indah itu tidak berlangsung seperti yang diinginkan kerana secara kebetulan banjir telah melanda bandar tersebut hingga menyebabkan para tetamu tidak boleh hadir.
Pun begitu, fenomena alam itu tidak menghalang pasangan ini menerusikan niat mereka untuk mendirikan perkahwinan.
Ketika majlis itu, pengantin lelaki iaitu Wang yang berusaha datang ke hotel tersebut dikatakan turut basah kuyup dan hanya memakai selipar serta vest.
Melihat hal tersebut, Zhou menangis dan segera memeluk bakal suaminya itu dan berkata: “Walaupun tiada tetamu, tiada kereta konvoi, tiada bunga api, yang penting saya bersama bersama awak.”
Jurumekap yang terharu dengan situasi itu, kemudian memuat naik gambar perkahwinan tersebut dan menulis kata-kata yang dituturkan Zhou.
Gambar perkahwinan pasangan ini sekali gus menjadi viral di media sosial tempatan dan membuatkan ramai netizen tersentuh hati.
Walaupun tidak mempunyai perkahwinan yang meriah, namun sikap percaya dan sokongan sesama mereka membuktikan pasangan tersebut yang memang diciptakan untuk satu sama lain. – MYNEWSHUB.CC