MELAKA – Penceramah bebas, Abang Long Fadhil luka di kepala dan tangan kiri selepas Perodua Myvi dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan Proton Satria di susur masuk Plaza Tol Ayer Keroh.
Perodua Myvi yang disewanya itu terbalik dan terseret di atas jalan raya selepas melanggar belakang Proton Satria.
Beliau atau nama sebenarnya Muhamad Fadhil Husin atau duduk di tempat duduk penumpang manakala rakannya dikenali sebagai Anas berusia 20-an yang memandu kereta cedera di lengan kanan.
“Kami dalam perjalanan dari Rawang ke Johor untuk menghadiri majlis keagamaan di Skudai, Johor.
“Saya berjaya keluar dari kereta melalui tingkap, hanya tiga kaca tertusuk di kepala, Alhamdulillah muka tidak apa-apa,” katanya ketika ditemui di inap desa tempat penginapannya di Sungai Udang, di sini.
Muhamad Fadhil, 29; berkata, dia juga bersyukur kerana ketika kejadian ibunya tidak bersama mereka kerana mahu tinggal di rumah saudara di Rawang.
“Mujur Ibu saya tidak ikut sama, bagi saya semua ini sudah tertulis dan reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya. – myMetro Online