SEBAGAI tenaga pengajar Akademi Fantasia 2016, Ellie Suryati mengakui dia mencari pelajar dan penyanyi yang kuat serta tidak mudah mengalirkan air mata semata-mata mahu dipilih sebagai salah seorang peserta program tersebut.
Tambahnya, dia juga mahu mencari pelajar yang berjiwa kental dan tidak mahu mendengar alasan bakal peserta untuk bersikap lemah semangat kerana untuk kekal di dalam bidang seni bukan suatu perkara yang mudah.
“Akademi Fantasi tahun ini hanya akan berlangsung selama 8 minggu jadi saya ingin mencari peserta yang benar-benar bersedia untuk dinobatkan sebagai juara.
“Saya akan persiapkan mereka supaya bersedia untuk mengharungi cabaran sebenar industri ini. Bukan semua orang mampu melaluinya.
“Jika mereka mahu memasuki Akademi Fantasia, mereka tidak perlu mengalirkan air mata kerana kami semua mahu memberikan ilmu dan serius dalam membimbing mereka,” kata Ellie, 46; kepada mStar Online.
Uji bakat akan berlangsung selama tiga hari iaitu 15 hingga 17 Julai depan di The Boulevard, St. Premier Hotel, Mid Valley Kuala Lumpur dan bakal disiarkan di Astro Ria bermula Ogos depan. -MYNEWSHUB.CC