DUNGUN – Kejernihan air terjun ibarat kristal dan keindahan alam semula jadi bagaikan memanggil-memangil pengunjung hingga alpa akan bahaya yang menanti.
Tarikan luar biasa di Air Terjun Lubuk Kain, Sungai Bangan di Hulu Dungun menjadikan ia lokasi perkelahan terbaru, malah kebersihan airnya menjadi viral di laman sosial hingga ada yang melabelkan ia sebagai air sungai paling jernih di negeri ini.
Namun di sebalik keindahan dan kejernihan itu, tiga nyawa telah menjadi korban di kawasan perkelahan tersebut sejak awal tahun ini.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan perkelahan itu sememangnya indah tetapi agak memeranjatkan apabila tiada satu pun papan tanda amaran sebagai peringatan dan panduan kepada pengunjung.
Malah pengunjung dibiarkan mandi tanpa pengawasan pihak berkuasa walaupun telah ada nyawa yang terkorban di situ.
Seorang pengunjung, Rosamiza Omar, 49, dari Seberang Takir berkata pihak berkuasa sepatutnya memainkan peranan dengan memasang papan tanda amaran terutamanya di kawasan yang berbahaya sebagai peringatan kepada pengunjung.
“Bagi saya yang pertama kali ke sini memang saya tak tahu kawasan mana yang selamat untuk mandi dan beranggapan semua kawasan di sini selamat sebab tak ada langsung papan tanda amaran dan peringatan yang dipasang.
“Saya bernasib baik sebab terjumpa dengan orang kampung di sini yang kebetulan berkelah bersama keluarga.
“Mereka yang beritahu saya kawasan di sekitar air terjun bahagian atas tidak selamat untuk mandi dan sudah ada orang yang lemas sebab pusaran air… mujur mereka ada, kalau tak memang saya dah mandi di kawasan itu,” katanya.
Menurut seorang penduduk kampung di situ, Mohd Zahidi Rosli, 16, kebanyakan pengunjung yang mandi di kawasan air terjun itu tidak mengetahui keadaan di dasar sungai tersebut yang mempunyai pusaran air.
“Sebenarnya tempat ini menarik untuk mandi, tetapi ada kawasan yang bahaya iaitu di bahagian atas. Memang ada pengunjung tidak melepaskan peluang merakam gambar dari dasar air yang sangat cantik, tetapi malangnya mereka tak tahu di situ ada pusaran air yang akan menarik mereka ke bawah.
“Sewaktu kejadian lemas yang terbaru, saya baru selesai mandi dan mahu balik ke rumah. Tiba-tiba ada orang beritahu ada mangsa lemas, saya terus panggil penduduk kampung untuk tolong selamatkan tetapi pada masa itu sudah terlambat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Sharifah Mohamad, 38, berkata lazimnya penduduk yang membuka gerai di kawasan berkenaan memberi peringatan awal kepada pengunjung di kawasan tersebut untuk lebih berhati-hati dan tidak mandi di kawasan yang berbahaya.
“Mangsa yang lemas sebelum ini pun sudah dipesan awal-awal supaya jangan terjun dekat kawasan yang bahaya, tapi sebab kawasan tersebut terlalu cantik, memang ianya menarik orang untuk cuba mandi di situ,” katanya.
Sementara itu, Exco Kemajuan Usahawan Luar Bandar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Terengganu, Roslee Daud yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Besi berkata pihak bertanggungjawab harus memainkan peranan bagi mengelak tragedi lemas di Lubuk Kain tersebut berulang.
“Sudah tiga mangsa yang mati lemas, semuanya orang luar… apa yang penting sekarang ini pihak yang bertanggungjawab perlu ambil inisiatif sama ada memasang papan tanda atau melantik sesiapa untuk mengawasi kawasan tersebut.”
Kejadian lemas meragut nyawa yang pertama berlaku pada 2 April lalu melibatkan seorang penuntut Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco, Kemaman yang mengunjungi kawasan perkelahan tersebut bersama 13 rakannya.
Sebulan selepas itu, seorang lagi remaja dari Felda Kerteh Enam juga mati lemas di kawasan berkenaan dan pada 16 Julai lalu, seorang penuntut Institusi Latihan Perindustrian Gebeng menjadi mangsa korban terbaharu selepas terjun ke lubuk berkenaan bersama rakannya yang lain. – BERNAMA