PERMAINAN yang mengundang maut, itulah yang dilakukan oleh tujuh orang remaja di India apabila bertindak ‘berani’ sanggup berdiri di atas jambatan laluan kereta api.
Menurut sebuah portal, kejadian yang dirakam di wilayah Ghaziabad, Uttar Pradesh itu memaparkan lagak ngeri sekumpulan remaja yang berdiri di jambatan kereta api saat kenderaan itu memecut laju.
Menerusi rakaman yang berdurasi kurang satu minit itu, kumpulan remaja berkenaan dilihat terjun ke dalam sungai apabila kereta api itu menghampiri mereka seorang demi seorang.
Setelah tersebarnya video berkenaan, pihak berkuasa mengambil langkah mengawal lebih ketat kawasan tersebut supaya kejadian tidak diingini berlaku.
Baru-baru ini, seorang lelaki terbunuh dirempuh kereta api gara-gara cuba untuk mengambil selfie berhampiran rel. Disebabkan terlalu asyik, mangsa tidak menyedari sebuah kereta api bergerak laju menghampirinya. – MYNEWSHUB.CC