ISUÂ peminjam dipulas, dikilas dan dibilas Syarikat Peminjam Wang Berlesen (SPWB) bukan isu baharu. Malah, Along yang selama ini dikaitkan sebagai ceti haram sebenarnya ialah pemilik SPWB.
Ceti haram atau Along dan SPWB ialah kembar tidak seiras. Rupa berbeza tetapi tinggal dalam rumah yang sama. Ia berkaitan operasi jenayah yang tersembunyi di sebalik mekanisme syarikat berlesen. Secara realitinya, ia kembar bagi segala keganasan jenayah di balik kartel gengster.
Pada tahun 2002, dalam satu ops rakaman kamera sulit di Seksyen 15 Shah Alam, di pusat ceti haram, jelas dilihat modus operandi jahat SPWB. Secara terbuka, ia menerima tetamu yang memerlukan pinjaman; sesuai dengan papan tanda dan lesen yang diberikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Cuma tidak siapa tahu – kaedah pinjaman yang ditawarkan ialah model hutang ceti haram!
Setiap Along akan mendapatkan lesen SPWB. Ini penting untuk money laundry. Wang haram melalui jenayah ceti haram akan dipindah dan bersembunyi di balik operasi SPWB.
Ini rahsia terbuka. PBT tahu, polis pun tahu. Malah, kabinet pun tahu! Jangan berpura-pura terkejut kononnya: “Ya Allah! Kami tak tahu pun!” Ini apologi sarkastik! Sebab, mana mungkin tidak tahu! Pihak berkuasa kita memiliki sayap intilegen antara yang terbaik di dunia.
Cuma masalahnya: Apa yang menghalang usaha penghapusan mutlak?
Mudah. Korupsi!
Modus operandi jenayah seperti ini, yang dijalankan secara terbuka dan berleluasa serta mangsanya pula orang awam – mustahil boleh berleluasa selama hampir dua dekad tanpa diketahui. Mustahil ia berlaku: Kecuali disebabkan wujud ketirisan undang-undang yang dipajak penjenayah secara langganan bulanan. Malah, tahunan!
Kartel Along, pelacuran, perjudian dan pusat hiburan haram adalah wajah yang sama. Model jahat jenayah terancang sejak era Mafia Amerika Syarikat. Al Capone mengasaskan model jenayah ini sejak tahun 1920an.
Jadi apabila inteligen Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berjaya merakamkan secara detail, temu bual dan modus operandi SPWB atau Along ini – saya harap pihak berkuasa tidak perlulah terkejut.
Anda sebahagian daripada kitaran jahat ini!
Pada tahun 2001 hingga 2004, saya berurusan melalui emel dan komunikasi orang tengah di Bukit Aman. Saya menyalurkan maklumat mengenai rasuah yang membabitkan penjenayah Along dan operator pusat judi.
Setelah melalui banyak pengalaman pahit sebagai Penerbit Edisi Siasat, saya hanya percayakan Ketua Polis Negara waktu itu: Musa Hassan.
Saya mengirim emel detil, siap dengan penjelasan serta nama-nama taikun jenayah yang berjaya membeli undang-undang. Musa orang mulia – dia nekad memerangi jenayah dan semua maklumat disiasatnya.
Selama itu, sampai sekarang saya tidak pernah bersemuka dengan Musa Hassan. Tetapi saya menghormatinya. Dia bertindak pada setiap maklumat yang diberikan.
Samada dia bertindak lebih awal sebelum saya marah dan menyiarkannya – itu soal lain. Soalnya, sebagai pihak yang sama-sama mempunyai tangungjawab pada negara, kami berlumba dalam permainan sihat ini!
Lawan Mafia Kerja Istiqamah
Pada saya, menghapuskan jenayah Along bergantung pada sejauh mana PBT, Polis malah kabinet melihat isu ini. Menentang kejahatan ini, ialah ralli panjang antara stamina pihak berkuasa dan sikap nekad penjenayah.
Selalunya pihak berkuasa yang akan kalah dalam isu ralli. Penjenayah akan kembali kerana ceti haram dan judi mesin adalah keuntungan terbesar dalam operasi Mafia Model Malaysia.
Kepada InteligenPPIM, tahniah! Apabila rakyat terus menjadi mangsa, dan kita sebagai rakyat juga tidak tahan lagi melihat segala kejahatan ini – jangan tersinggung – kalau akhirnya, rakyatlah yang harus bangkit menentangnya.
Kita tidak memiliki kuasa – tetapi kita memiliki rasa cinta menengakkan keadilan untuk semua warga negara berdasarkan undang-undang. Kita tidak mahu penjenayah memerintah wilayah tertentu dan rakyat yang terhimpit menjadi mangsa.
Kalau pihak berkuasa sudah letih, maka rakyatlah yang perlu bekerja!
Iye ke idok? – MYNEWSHUB.CC