DUBAI – Anak lelaki pemimpin kumpulan al-Qaeda, Osama bin Laden memberi amaran akan membalas dendam ke atas Amerika Syarikat kerana membunuh bapanya.
Menurut mesej audio yang dimuat naik dalam talian, Hamza bin Laden berikrar akan meneruskan perjuangan global kumpulan militan berkenaan di AS dan negara sekutunya.
Menurut Kumpulan Perisikan SITE, rakaman selama 21 minit itu bertajuk “Kami Semua Osama. Kami akan terus menyasar dan menyerang kamu di negara kamu dan di seluruh dunia.”
“Ia adalah tindak balas terhadap penindasan ke atas penduduk Palestin, Afghanistan, Syria, Iraq, Yaman, Somalia dan wilayah Islam lain yang tidak berupaya melawan penindasan kamu,” kata Hamza.
“Tindakan ini bukan untuk Osama, tetapi sebagai membalas dendam bagi pihak mereka yang mempertahankan Islam.”
Osama dibunuh sekumpulan komando Amerika Syarikat di tempat persembunyian di Pakistan pada 2011 dan ia adalah tamparan hebat terhadap kumpulan militan yang melakukan serangan 11 September tahun 2001. – Reuters/BH ONLINE