ANAK kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali mahukan penerbit terkenal, David Teo pergi menziarahi pusara seniman agung itu untuk memohon kemaafan kerana ketelanjuran kata sebelum ini.
Menurutnya, sebagai anak dia sememangnya sedih apabila bapanya yang sudah kembali ke rahmatullah dihina sedemikian rupa.
“Kakak angkat saya, Dian, ada memaklumkan kepada saya David (Teo) menghubunginya bagi meminta maaf. Bagi saya, anak arwah yang masih hidup tentu tiada masalah memberi kemaafan tetapi bagaimana dengan bapa saya? Rasanya lebih bagus kalau dia sendiri ke kubur P Ramlee,” katanya.
Pada masa yang sama, Sazali turut menafikan bahawa mereka hidup susah seperti yang didakwa David Teo.
“Selama saya lahir hingga ayah meninggal (dunia) ketika usia saya 15 tahun, belum pernah kami miskin atau tidak makan.
“Buat pengetahuan semua, sepanjang saya tinggal dengan bapa, kami anak-beranak diberi kehidupan yang sangat sempurna. Cukup makan pakai, malah bapa saya juga sentiasa menghulur bantuan kepada orang lain yang meminta pertolongan daripadanya tanpa mengharapkan sebarang balasan,” katanya.
Khamis lalu, David yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth mengeluarkan kenyataan penuh kontroversi apabila memetik nama P.Ramle sebagai contoh pelakon yang hidup merempat di usia tua.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan David Teo mahu memberitahu bahawa syarikatnya mampu membimbing pelakon hingga mereka menjadi jutawan. – MYNEWSHUB.CC