MELINDUNGI keselamatan negara daripada ancaman kumpulan militan Daesh adalah penting bagi memastikan industri pelancongan yang menjana sehingga 2.6 juta peluang pekerjaan di negara ini tidak terjejas.
Hal ini disuarakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani pada sidang media sempena sambutan ulang tahun ke-30 Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) di Dewan Perdana Felda, pada Sabtu.
“Keselamatan dan kesejahteraan negara yang tidak tergugat di tengah-tengah ancaman pengganas adalah penting untuk memastikan pelancong terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi di samping meningkatkan hasil dalam sektor pelancongan,”Ă‚Â katanya.
Datuk Johari bagaimanapun menambah, beliau percaya keadaan masih terkawal namun pada masa sama negara masih perlu berjaga-jaga agar tidak menjadi seperti Turki, Mesir, Syria dan Iraq yang dicengkam ketidakstabilan politik sekaligus merugikan semua pihak.
Beliau turut menafikan terdapat kes pelancong membatalkan lawatan disebabkan ancaman Daesh namun tidak menolak industri pelancongan negara pernah terkesan disebabkan tragedi MH370 dan MH17 sebelum ini.
Dalam pada itu Presiden MTC, Datuk Sri Mohd Shahkar Shamsudin pada majlis sama, memberitahu bahawa ancaman Daesh telah membuatkan pihak berkuasa dan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan terpaksa menukar strategi.
Begitu pun, beliau memberi jaminan bahawa strategi yang berkesanĂ‚Â akan turut membuka peluang baharu bagi sektor pelancongan di peringkat global mahu pun tempatan.Ă‚Â – MYNEWSHUB.CC