GEORGE TOWN – Dua bot membawa 10 nelayan Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang ketika menangkap ikan secara tidak sah di 51 batu nautika dari barat daya Pulau Kendi dekat sini, semalam.
Pengarah Maritim Daerah Maritim 2 Pulau Pinang Kamaruszaman Abu Hassan berkata kedua-dua bot itu ditahan sepasukan penguat kuasa APMM yang menjalankan rondaan ‘Ops Khas Pagar Laut’ di kawasan berkenaan kira-kira 8 pagi.
“Dua tekong dan lapan awak-awak dalam dua bot itu berusia di antara 22 dan 40 tahun. Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya siasatan awal mendapati mereka berada di perairan negara sejak tiga hari lepas dan dua daripada nelayan itu pernah ditahan APMM sebelum ini atas kesalahan sama.
Selain itu, APMM turut merampas beberapa peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan seberat 150 kilogram yang ada di dalam dua bot itu.
Sementara itu, Kamaruszaman berkata enam bot bersama-sama 29 nelayan asing yang menceroboh perairan negara ditahan menerusi ‘Ops Khas Pagar Laut’ sejak 3 Jun lepas. – BERNAMA