KOTA TINGGI – Bakal jemaah haji di negeri ini diingatkan agar membuat persiapan rapi termasuk mengambil tahu tahap kesihatan masing-masing ketika hendak mengerjakan ibadah di Tanah Suci Makkah.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Baderik Dasuki berkata langkah itu bagi memastikan mereka tidak mengalami sebarang masalah ketika berada bersama sejumlah jemaah lain dari seluruh dunia di Tanah Suci.
“Kesihatan adalah keperluan yang perlu diberi perhatian. Dengan kesihatan yang baik, bakal haji akan dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna.
“Selain itu, jika mereka sudah sakit sewaktu berada di Tanah Suci, bakal haji dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan yang disediakan dan tidak membiarkan penyakit melarat sehingga membantut perjalanan mereka meneruskan ibadah,” katanya.
Baderik yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti berkata demikian ketika meraikan 43 bakal haji pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfiri DUN Panti di Kompleks Penghulu Mukim-Mukim Kota Tinggi, Kampung Batu Ampat di sini semalam.
Baderik berkata selain mengambil tahu tahap kesihatan masing-masing, bakal haji juga perlu memastikan mereka tidak dibuai dengan isu duniawi semasa mengerjakan ibadah sebaliknya fokus terhadap tujuan dan matlamat mereka ke sana. – BERNAMA