BALIK PULAU – Ketika fenomena La Nina mula melanda negara ini, kawasan Teluk Bahang di sini mengalami antara banjir kilat terburuk sejak beberapa tahun lalu berikutan hujan lebat sejak pagi ini.
Paras air di beberapa kawasan mencapai sehingga ke lutut dan ada kenderaan yang terkandas dalam banjir.
Keadaan itu membimbangkan penduduk tempatan kerana sesetengah kawasan tidak pernah mengalami banjir kilat sebelum ini.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Teluk Awak, Iskandar Hassan, 43, berkata paras air naik dengan mendadak dan banyak kenderaan terkandas, selain air turut memasuki rumah.
“Jika hujan berterusan, saya khuatir ini akan terus berlaku sepanjang musim tengkujuh ini,” katanya.
Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah ketika dihubungi Bernama berkata, kebimbangan utamanya adalah banjir kilat itu disebabkan penerokaan bukit di kawasan berhampiran.
“Penerokaan tanah sama ada secara sah atau tidak, boleh mengakibatkan masalah ini kerana Teluk Bahang terletak di kawasan berbukit,” katanya.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika dihubungi berkata hujan lebat sehingga mencapai 190mm di Empangan Teluk Bahang serta air pasang menyebabkan air Sungai Teluk Awak melimpah.
Kawasan yang dinaiki air adalah sepanjang Jalan Hassan Abas dan petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Jabatan Pengairan dan Saliran telah dihantar untuk menghulurkan bantuan.
Chow berkata setakat ini paras air direkodkan setinggi 12 inci di beberapa kawasan dan ia mungkin lebih dalam di sesetengah tempat ketika hujan lebat dijangka berterusan sehingga lewat petang ini. – BERNAMA