BAYANGKANÂ jika bangun pagi tiba-tiba tidak boleh keluar dari rumah kerana tertimbus pasir, tentu keadaan itu sangat mengerikan bagi sesiapa sahaja.
Bagaimanapun begitulah bahaya yang harus dihadapi oleh penduduk sebuah desa dikenali Shoyna di Rusia.
Penduduk di semenanjung Kanin, Russia yang berpenduduk kira-kira 300 orang berada di pinggir bulatan Artik dekat Kutub Utara.
Kehidupan penduduk perkampungan ini sangat ekstrem malah mereka harus menghadapi suhu yang sangat sejuk.
Selain itu, setiap malam ribut pasir datang ‘menghentam’ rumah-rumah mereka tanpa amaran.
Gelombang pasir itu berasal dari Laut Putih.
Meskipun setiap hari harus bertaruh nyawa dengan keadaan ekstrem itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana kawasan terpencil di utar Rusia ini dikelilingi oleh bukit-bukau berpasir.
Dulunya Shoyna adalah sebuah pusat pelabuhan malah penduduk kampung Shoyna majoritinya menjadi pelaut.
Menurut sejarah, kampung itu ditubuhkan pada tahun 1930 oleh keluarga pemancing. Pada masa itu banyak ikan dan hidupan laut lain hidup subur di wilayah tersebut.
Namun kini, kesibukan penduduk memburu bertukar kepada aktiviti menggali rumah-rumah yang tertimbus badai pasir sambil berharap pasir tidak menimbus rumah mereka.
Untuk menghadapi badai pasir pada waktu malam hari, mereka terpaksa untuk tidak menutup pintu pada waktu malam ketika mahu masuk tidur.
Siapa yang boleh menyalahkan mereka?
Dengan segala bahaya yang dihadapi setiap malam, mereka tetap bangga dengan kampung itu kerana terus boleh terus hidup di tengah badai pasir. – MYNEWSHUB.CC