SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun yang masih lagi dalam keadaan bogel ‘dipanggang’ oleh bapa tirinya di atas api hanya kerana dia kencing malam ketika tidur.
Akibat perbuatan keji dan tidak berhati perut bapa tirinya, kanak-kanak malang itu melecur di bahagian dubur dan kemaluannya.
Satu rakaman video pendek menunjukkan kanak-kanak itu menjerit kesakitan ketika ‘dipanggang’ bapa tirinya yang berusia 20 tahun itu dalam kejadian di bandar Limpio, berhampiran Asuncion, ibu kota Paraguay.
Video itu telah dirakamkan oleh seorang jiran apabila terdengar jeritan kanak-kanak dalam kesakitan. Bagaimanapun dia tidak berani untuk menghalang tindakan kejam remaja berusia 20 tahun itu.
Menerusi video itu juga, suspek dilihat memegang tubuh bogel kanak-kanak itu lebih hampir kepada api yang marak sehingga kulitnya kelihatan dijilat api.
Bapa tiri mangsa ditangkap polis setelah para penduduk membuat aduan kepada pihak polis dan berkongsi video penderaan tersebut.
Timbalan Pesuruhjaya polis, Odilio Larrea, berkata: “Suspek enggan memberitahu apa-apa. Dia hanya berkata dia tidak melakukan apa-apa.”
Ibu mangsa, 21 tahun, dilaporkan sedang menjaga bayinya yang baru lahir dan seorang lagi anak. Jelas media tempatan, suspek kini sedang dalam tahanan dan pihak polis sedang menjalankan siasatan. – MYNEWSHUB.CC