SEORANG budak lelaki berusia 12 tahun yang diculik di New Delhi dan dibawa ke Bangladesh enam tahun lalu, akhirnya bertemu semula dengan ibu bapanya.
Sonu telah dibawa pulang ke India dan disambut oleh ibu bapanya, Mumtaz dan Mehbobb Begum di lapangan terbang New Delhi.
“Saya dah jumpa semula anak saya dan saya amat gembira. Saya ingin berterima kasih kepada Menteri Luar, Sushma Swaraj,” kata Mehboob.
Menurut media tempatan, Sonu diculik oleh seorang wanita yang merupakan penyewa di rumah milik ibu bapa Sonu pada 2010.
Sonu kemudiannya dibawa lari ke Bangladesh dan di sana, Sonu disiksa serta dipaksa melakukan kerja rumah.
Nasib baik jiran wanita terbabit, Jamal Musa yang prihatin dengannya telah menyelamatkan Sonu.
“Mereka mendera budak itu dan memaksanya melakukan kerja rumah. Saya telah maklumkan kepada polis sejak tiga tahun lalu,” kata Jamal yang melarikan Sonu pada Disember lalu sebelum menempatkan budak tersebut di sebuah rumah anak yatim di Bangladesh.
Berbekalkan alamat samar-samar yang diberikan oleh Sonu, Jamal kemudiannya ke India untuk mengesan ibu bapa budak berkenaan dan akhirnya usaha Jamal itu berhasil apabila dia berjaya mengesan mereka di Seema Puri. -Â MYNEWSHUB.CC