KUALA LUMPUR – Mungkin kerana bimbang dengan kenyataan keras yang dibuat oleh peserta perhimpunan baju merah semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini cuba berdolak dalih kononnya parti itu tidak pernah mahu parti Melayu UMNO mati selama ini.
Beliau sebaliknya mendakwa, DAP cuma mahu mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini daripada UMNO dan UMNO akan terus dibenarkan untuk berpolitik di Malaysia sebagai pembangkang.
“DAP tidak pernah berkata mahu UMNO mati. Saya tidak perasan mana-mana individu, parti politik atau organisasi yang menyatakan mahu UMNO mati.
“DAP tidak mahu UMNO mati tetapi cuma mahu UMNO tewas sekurang-kurangnya sekali untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang demokratik,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kit Siang dalam kenyataan yang seolah-olah cuba memperbodohkan kaum Melayu itu mendakwa kononnya adalah tidak demokratik untuk sesebuah negara dipimpin oleh parti Melayu UMNO untuk tempoh yang lama.
Beliau mendakwa, Malaysia akan menjadi sebuah negara demokratik yang sebenar-benarnya jika UMNO kalah dan DAP pula yang memerintah negara ini untuk cuma sekali.
“Tiada siapa yang mahu UMNO dimusnahkan dan saya tidak percaya UMNO jika diusir dari Putrajaya akan binasa dan mati,” dakwanya lagi.
Portal berita propembangkang semalam melaporkan ratusan orang Melayu berhimpun di hadapan Ibu Pejabat DAP bagi membantah kenyataan pemimpin DAP menghina Islam.
Kumpulan berkenaan turut membawa plakad yang tertera tulisan ‘DAP Rasis’ dan ‘Respek Islam’ serta melemparkan duit neraka ke arah bangunan parti itu.
Seorang peserta berkata: “Lebih kurang macam ini la, dia mahu UMNO mati, kita pun mahu DAP mati.â€
Pada 6 Julai lalu, seorang pemimpin DAP dalam ucapan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh umat Islam menyiarkan karikatur kanak-kanak dan tetamu menerima sedekah duit raya dan menyamakannnya duit raya sebagai rasuah dan ‘dedak’. – MYNEWSHUB.CC