MENJADI satu pemandangan biasa apabila ramai umat Islam lebih melipat gandakan amalan sunat di bulan Ramadan pada saban tahun.
Antaranya dengan menunaikan solat sunat tarawikh, khatam Al-Quran dan sentiasa bersedekah kepada golongan memerlukan di bulan penuh 1001 keberkatan itu.
Namun, situasi sebegitu itu dilihat cukup sepi dijayakan terutama sekali pada bulan perayaan Syawal.
Bagi menerapkan kecemerlangan berterusan itu, pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah ada membekalkan beberapa tips agar kehidupan kita akan terus diberkati sepanjang tahun, bukan tika Ramadan sahaja.
Menurut beliau, tiga tips ini perlu sentiasa diikuti agar kecemerlangan diri dapat dibentuk sepanjang hayat kita.
Antaranya, fokus diri, sentiasa berdoa dan patuh syariah dalam menjalani kehidupan seharian.
“Bagaimana kita nak mengekalkan kecemerlangan yang kita buat Ramadan dan Syawal dan InsyaAllah sehingga ke hujung tahun, tipsnya dalam Ramadan, pertama, kita fokus dan kawal diri. Tiba Syawal kita lupa nak kawal diri.
“Dalam Ramadan kita berdoa, luar Ramadan kita kurang berdoa.
“Kalau kita terus melakukan tiga perkara itu, kecemerlangan dalam bulan Ramadan dan Syawal dapat dikekalkan sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui Mynewshub, baru-baru ini.
Sempena Syawal kali ini, Dr. Mohd. Fadzilah menjayakan sebuah program Klinik D’Hijrah yang bakal bersiaran pada Hari Raya Pertama di saluran TV AlHijrah bersama artis jemputan, Remy Ishak. – MYNEWSHUB.CC