SHAH ALAM – Nilai eksport durian dalam bentuk ulas sejuk beku ke China mencecah hampir RM30 juta tahun lepas, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.
Beliau berkata ‘Raja Buah’ itu mempunyai potensi eksport yang sangat luas terutama selepas pihak Jabatan Pertanian mendapat laluan pasaran pada tahun 2011 untuk pengeksportan dalam bentuk ulas sejuk beku ke China.
“Antara sebab buah durian mendapat tempat di China disebabkan petani Malaysia mengamalkan amalan pertanian baik untuk memastikan produk mereka berkualiti,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Fiesta Durian dan Karnival IAT dan Herba di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata penggunaan per kapita buah-buahan oleh rakyat di negara ini hanya 63 kilogram setahun, berbanding 400 kilogram yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Katanya ini bermakna, per kapita secara puratanya rakyat negara ini hanya makan buah-buahan lima kilogram sebulan, satu kilogram seminggu dan sehari hanya 120 gram.
“Kita juga mendapati ada trend pengurangan pemakanan buah-buahan dalam kalangan golongan muda,” katanya.
Ahmad berkata FAMA telahpun menggariskan tiga strategi utama bagi meningkatkan amalan pemakanan buah-buahan dalam kalangan generasi muda.
Ini termasuk meningkatkan ‘accessibility’ buah-buahan dengan mengadakan gerai di tepi jalan selain menggalakkan pembangunan produk berasaskan buah-buahan seperti durian ‘crepe’ dan ‘pancake’. – BERNAMA