BEBERAPA keping gambar yang didakwa sebagai model kenderaan utiliti sport (SUV) pertama dari Proton mula tersebar luas menerusi laman sosial sejak semalam.
Kenderaan SUV yang mempunyai reka bentuk iras model popular Honda HRV dan sedikit elemen BMW X6 ini dikhabarkan sebagai Proton Exrema.
Menurut sumber industri, Extrema berdasarkan kepada konsep SUV Lotus APX yang pernah dipamerkan pihak Proton suatu ketika dahulu.
Menggunakan nama kod Youngman SUV, ia dibangunkan oleh anak syarikat Proton Lotus Engineering dan telah dipandu uji di China.
Tiada perincian lanjut didedahkan namun menurut laman blog automotif Paultan.org, ia dijangka dilancarkan pada 1 April 2017 selepas pelancaran model terbaharu Perdana, Persona dan Saga.
Bahagian hadapan kenderaan SUV ini kelihatan seperti kenderaan kontemporari, dengan lampu utama xenon bersama lampu posisi LED, gril besar dengan logo Proton dan skid plate berwarna perak.
Pada bahagian belakang pula, ditampilkan ekzos dan lampu belakang yang nampak lebih teratur serta padanan roda 19-inci.
Baca: Proton Ertiga MPV Terbaharu Usaha Sama Suzuki
Juga: Proton Saga Jenis Wagon Bakal Dihasilkan?
Kabinnya pula agak menarik dengan papan pemuka dan tempat duduk berwarna coklat, serta banyak kemasan menggunakan elemen perak bagi memberi penampilan lebih elegan dan eksklusif.
Dijangkakan Extrema akan dijana oleh enjin baharu Proton 1.5 liter pengecas turbo dan suntikan-terus TGDI, dengan konfigurasi paling berkuasa yang mampu menghambur kuasa 180hp dan tork 250Nm.
Apa pendapat anda tentang langkah Proton memperkenalkan model sebegini di pasaran?
Bagi kami, reka bentuk kenderaan SUV ini tampak ‘kuat’ dan setanding dengan SUV import seperti Porsche Cayenne, BMW X6 35i dan Nissan Murano.
Harapan kami agar model ini berjaya menempah nama bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara juga. Bak kata orang dulu-dulu, tepuk dada tanya selera.
Kalau benarlah berita ini, maka sebagai rakyat Malaysia kita patut beri sokongan dan mungkin ia membuka peluang peminat dunia permotoran tempatan untuk memiliki sebuah SUV dengan harga yang lebih murah berbanding model import. – MYNEWSHUB.CC