SEMPENA kedatangan lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi, pelakon Fasha Sandha berkata persiapan rayanya dilakukan secara bersederhana sahaja.
Ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini turut berkata dia dan keluarga akan bercuti di sebuah lokasi ‘rahsia’ pada hari raya kedua nanti.
“Persiapan raya saya sederhana sahaja tapi meriah. Baju raya banyak, kebanyakan orang bagi hadiah.
“Raya pertama saya beraya di Kuala Lumpur dan raya kedua akan bercuti bersama keluarga,” kata aktres itu ketika ditemui pada Majlis Buka Puasa Bersama Puteri Umno yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Fasha kedatangan Aidilfitri kali ini tetap disambut meriah olehnya walaupun tanpa kehadiran jejaka bergelar suami di sisi.
“Saya tetap bahagia dapat beraya bersama anak-anak dan keluarga saya,” kata pelakon berusia 32 tahun itu.
Fasha bercerai dengan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli pada Januari lalu selepas melayari kehidupan bersama selama empat tahun.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli, 3; dan Putri Raysha Jemaima; 2. – MYNEWSHUB.CC