SETIAP kali berlaku kejadian yang mencetuskan kejutan dan memerlukan reaksi – ahli politik yang memiliki kedudukan dan bidang kuasa berkaitan isu yang diperkatakan – pasti menjadi tumpuan.
Wartawan akan mengejar ahli politik terutama menteri untuk mendapatkan komen dan respon.
Dalam situasi begini – selalunya menteri itu menjadi fokus utama bagi mendapatkan sumber komen dalam berita.
25 tahun lalu – ada satu jenaka sinis di meja berita sebelum wartawan keluar mencari komen dan jawapan menteri: “Aku dah boleh agak,” kata Editor Berita: “Intro kau nanti pasti kerajaan akan mengkaji dan bla bla bla.”
Wartawan pula akan menyahut gurauan sinis Editor Berita dengan jawapan: “Saya dah tulis intro macam tu bos. Sebab pasti itulah jawapannya!”
Budaya komen lips service di mana menteri akan menjawab secara sesedap rasa sudah berpanjangan begitu lama. Jenaka kerajaan akan mengkaji masih kekal sebagai satu permainan gurauan antara Editor Berita dan wartawan.
Selain jawapan kerajaan akan mengkaji dan bla bla bla… satu lagi dilema lips service ialah idea spontan menteri: Selalunya, respon ‘bombastik’ mengenai pelbagai usaha yang akan dijalankan, serta mahu melaksanakan pelbagai sistem. “Kerajaan akan memastikan isu yang dibangkitkan segera selesai!”
Sekadar contoh: 20 tahun dulu, isu warga asing diberi visa pelajar tetapi menyalahgunakannya sudah diperdebatkan! Mengapa tiada tindakan terhadap institusi yang menyeleweng dan memperniagakan visa pelajar ini?
Isu ini berlarutan selama dua dekad. Kebanjiran warga asing yang menyusup masuk dengan visa pelajar jelas menimbulkan banyak masalah. Antaranya, menjadi pelacur, sindiket scam, malah penyeludup dan pengedar dadah.
Setelah 20 tahun, salah guna visa pelajar ini masih berleluasa. Malah, visa pelajar kini disalahguna ke tahap penyusupan masuk pelobi Daesh. Selepas 20 tahun – isu visa pelajar masih tidak selesai.
Wah! Ini sungguh krik-krik!
Bagi Gen Y yang lebih cerdik, mereka mentertawakan komen atau respon lips service. Gen Y sekarang tidak sama dengan Gen 20 tahun lalu, yang taat mendengar walaupun kurang percaya.
Gen Y menjadikan komen atau respon yang tidak cerdik sebagai jenaka troll. Menteri akan menjadi bahan lawak yang memeriahkan troll di media baharu.
Malah, ada yang sudah disinonimkan dengan troll begini. Bak kata Gen Y: “YB belum buka mulut, sudah dapat dirasakan, komennya pasti jadi bahan ketawa!”
Sebuah kerajaan yang kuat dalam konteks perkhidmatan – diukur pada kecekapan dan kebijaksanaan setiap menteri dalam menangani isu. Paling penting ketika menyampaikan komen pada wartawan.
Sebab sekali pun jawapannya No Comment! – bagi Editor Berita, itu satu komen!
PRU ke-14 akan tiba. Masa rakyat menilai kerajaan akan tiba sekali lagi. Walaupun yang bertanding adalah parti dan calon; namun yang dinilai adalah prestasi Kerajaan.
Prestasi Kerajaan ialah prestasi Kabinet. Imej kabinet dibentuk setiap Menteri Kabinet.
Gen Y sangat kritikal dan sentiasa memberi respons. Mereka bukan generasi 20 tahun lalu yang sanggup mendengar apa saja jawapan dan idea. Gen Y menilai idea. Jawapan yang sumbang akan menjadi troll.
Terlalu banyak troll akan melemahkan penilaian Gen Y terhadap pretasi Kerajaan.
Kesan kelemahan seorang menteri akan memberikan impak pada kerajaan. Kesannya nanti, ditanggung calon dan parti ketika PRU kelak!
Jadi dalam keadaan kritikal sekarang, dengan segala macam isu yang memerlukan kebijaksanaan ahli politik dalam memberikan respon dan tindakan – elakkan jawapan lips service.
Jawapan yang tidak cerdik dan ‘semberono’ akan membuatkan menteri dicap acah-acah bagus dan Gen Y akan berasa krik-krik.
Krik-krik ialah terminologi: Terdiam kerana mendengar jawapan yang tidak cerdik. Acah-acah bagus ialah pandangan sinikal Gen Y terhadap jawapan dan komen yang  tidak matang serta tidak munasabah.
Jadi, ahli politik kena berhati-hati dan jangan komen melulu hingga terlihat cetek akalnya.
Jawapan troll seorang menteri akan memberi impak buruk terhadap parti dan kerajaan pada PRU 14 nanti! – MYNEWSHUB.CC