MELAKA – Jabatan Penerangan Melaka akan menganjurkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan bulan depan.
Pengarahnya Lim Abb Teck berkata ia akan diadakan di daerah Melaka Tengah pada 14 Ogos, Alor Gajah pada 21 Ogos dan Jasin pada 24 Ogos.
Program dijadual dilancar Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron pada 14 Ogos.
Beliau berkata ia melibatkan kerjasama agensi kerajaan negeri, agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Telekom Malaysia, Pos Malaysia dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
“Semua yang terlibat akan berkonvoi membawa Jalur Gemilang dan mengagihkannya. Ia bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat selain meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran negara,” katanya kepada Bernama.
Sebanyak 18,000 helai bendera akan diedarkan dalam kempen tersebut. – BERNAMA