PENGACARAÂ terkenal Korea Selatan, Yoo Jae Suk mengakui dirinya berasa rindu untuk meluangkan masa dengan anak yang tercinta melalui episod program realiti Running Man baru-baru ini.
Menurut Jae Suk, jadual kerja yang terlalu padat menyebabkan dia tidak mempunyai masa untuk bersama-sama anaknya dan dia juga tidak dapat memberikan tumpuan yang penuh kepada anaknya, Yoo Ji Ho.
“Perkara yang saya mahu lakukan ialah menghabiskan masa dengan anak saya tetapi saya terpaksa lupakan hasrat tersebut kerana terlalu sibuk.
“Menjadi ibu bapa bukan tugas yang mudah, lebih-lebih lagi jika anak itu sedang membesar.
“Saya sangat kagum dengan wanita yang bergelar ibu kerana mereka kuat untuk berhadapan dengan kesusahan dan mereka boleh meluangkan masa bersama anak-anak.
“Selepas habis penggambaran, saya akan terus pulang ke rumah untuk bersama-sama anak. Saya mahu habiskan masa bersama supaya dia tidak berasa sunyi dan jauh daripada saya,” katanya.
Menurut Jae Suk, isterinya, Na Kyung Eun juga pernah meluahkan rasa sedih kerana mereka sekeluarga sukar untuk pergi bercuti bersama seperti keluarga lain. – MYNEWSHUB.CC