KUALA LUMPUR – Jalur Gemilang di Dataran Merdeka di sini bakal digantikan lebih kerap sementara menanti keputusan kajian untuk menggunakan bendera yang lebih berkualiti, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.
Beliau berkata berbanding sebelum ini, penggantian bendera tersebut hanya akan dibuat dua bulan sekali, namun kini kekerapannya ditingkatkan kepada sebulan sekali.
“Keputusan tidak perlu tergesa-gesa memandangkan ia masih dalam perbincangan. Buat masa ini, kontrak sedia ada masih diteruskan.
“Syarikat kontraktor sedia ada iaitu Reez Enterprise dilantik bagi menguruskan bendera di Dataran Merdeka dan kontrak tersebut berakhir pada Jun 2018,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Mhd. Amin berkata kontrak itu hanya melibatkan bendera pada tiang utama (100 meter tinggi) dan semua bendera negeri di sekitar Dataran Merdeka sahaja.
“Buat masa ini kami masih menggunakan bahan jenis ‘twinkle satin’.
“Bagaimanapun DBKL sedang berusaha untuk mendapat bahan yang lebih tahan lasak, ringan dan tidak serap air,” katanya.
Mhd Amin mengulas mengenai penyebaran gambar bendera Malaysia yang berukuran kira-kira 18 meter panjang dan 9 meter lebar di Dataran Merdeka yang koyak melalui media sosial baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bendera itu koyak ekoran angin kuat dan hujan lebat pada Rabu dan Khamis lepas. – BERNAMA