JOHOR BAHARU – Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang jurutera, bulan lepas.
Wong Jian Boon, 32, yang memakai baju-T berwarna hitam, memahami pertuduhan itu yang dibacakan dalam bahasa Mandarin, namun tiada pengakuan direkodkan daripadanya.
Wong, yang bekerja di Singapura, didakwa membunuh Tan Chuen Take, 31, di 2759, Jalan Cempaka 36/17, Taman Indahpura, Kulai, kira-kira antara 8 malam dan 11.30 malam pada 22 Jun lepas.
Dia yang berasal dari Kulai didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. Â
Majistret Noor Aisyah Ahmad menetapkan 29 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah. – BERNAMA