IPOH – Cadangan untuk melaksanakan pendekatan ‘sewa dan beli’ bagi membantu rakyat kurang berkemampuan memiliki rumah menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berharap cadangan tersebut akan mendapat kelulusan daripada jemaah menteri agar lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat dibantu.
“Ramai rakyat berpendapatan rendah sukar mendapat pinjaman bank berikutan tidak menepati syarat kelulusan bank termasuk penyata akaun tidak kukuh.
“Mereka ini orang susah, ada yang menjual di pasar malam sebab itu mereka tidak ada penyata bank yang cukup kukuh. Kerana itu kementerian mahu perkenalkan konsep ‘sewa dan beli’ ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Majlis Bandaraya Ipoh di sini, hari ini.
Selain itu, Noh berkata enam projek PPR telah dan akan dilaksanakan di Perak melibatkan pembinaan 2,000 unit rumah dengan dua daripadanya telah siap serta bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata dua daripada enam projek yang telah siap itu masing-masing terletak di Seri Iskandar yang melibatkan 99 unit rumah atas tanah manakala 260 unit lagi adalah unit pangsapuri di Kamunting.
“Empat lagi projek perumahan dari segi dasar kita telah mempunyai kelulusan hanya hendak kenal pasti tapak yang sesuai,” katanya.
Mengulas lanjut, Noh berkata kos pembinaan bagi sebuah rumah PPR adalah kira-kira RM160,000 sebelum dijual pada harga RM35,000 seunit yang mana kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM120,000 hingga RM130,000.
“Maka tapisan akan dibuat dengan ketat dan bagi negeri Perak, Lembaga Perumahan akan meneliti permohonan ini agar yang berpendapatan RM2,500 sebulan sahaja layak,” katanya. – BERNAMA