KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak enam tahun yang tergelincir ketika sedang bermain di tebing sungai‎ di Kampung Pulau Pisang, Kuala Besar, di sini petang semalam, ditemukan mati lemas hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Mohd Eiffat Amsyar Mat Jusoh ditemukan pukul 9.30 pagi tadi.
“Mayat mangsa ditemui di Kampung Pulau Keseng yang terletak kira-kira 800 meter dari tempat dia dikatakan terjatuh petang semalam oleh pasukan mencari dan menyelamat serta penduduk kampung hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini.
Sementara itu, bapa mangsa Mat Jusoh Mat, 43, berkata, dia bersyukur akhirnya mayat anaknya itu dijumpai kerana segala usaha yang dijalankan semalam tidak membuahkan hasil sehingga terpaksa disambung semula hari ini.
“Walaupun sedih dan terkejut dengan kejadian yang menimpa anak kedua daripada tiga beradik itu namun saya tetap reda dengan ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Badang di sini. – BERNAMA