LONDON – Penonton rancangan This Morning di Britain telah dikejutkan dengan tindakan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun, Ostara yang kencing di atas lantai studio ketika rancangan itu sedang ke udara.
Lebih mengejutkan apabila ibu bapanya, Adele, 32, dan Matt, 33, dari Brighton boleh pula langsung tidak berbuat apa-apa sebaliknya hanya membiarkannya sahaja.
Ketika itu Adele dan Mat berada di studio itu untuk berbicara mengenai ‘Off-Grid Parenting’ dan mereka turut membawa anak-anak mereka iaitu Ulysses, lima tahun serta adiknya, Ostara.
Perbincangan berkenaan adalah berkisarkan bagaimana Adele dan Mat membesarkan anak-anak mereka secara semula jadi tanpa menggunakan perubatan moden.
Pasangan tersebut mendakwa mereka tidak menghantar anak mereka ke sekolah serta tidak memakai lampin pakai buang.
Malah Ulysses juga masih menyusu badan ibunya meskipun dia sudah berusia lima tahun.
Namun sikap Adele dan Mat yang langsung tidak menegur anak mereka melompat-lompat di atas sofa serta tidak membawa Ostara ke tandas ketika dia berjalan menuju ke pintu, telah menyebabkan penonton berasa bengang.
“Bapa mereka melihatnya (Ostara kencing) tetapi tidak melakukan apa-apa.
“Langsung tidak hormat harta benda orang lain.
“Rasanya kanak-kanak ini memang menjelikkan di pasar raya,” demikian antara rungutan penonton yang tidak berpuas hati dengan Adele dan Mat.
Ketika membincangkan mengenai kaedah mereka membesarkan anak-anak, Adele berkata dia melahirkan dua anaknya itu di rumah hanya dengan bantuan suaminya sahaja dan mereka tidak pernah ke hospital.
Mereka sekeluarga hanya bergantung kepada herba untuk mengubati penyakit.
Ostara dan abangnya tidak bersekolah justeru mereka menghabiskan masa dengan alam sekitar dan mempelajari mengenai tumbuh-tumbuhan.
“Kami selalunya menghabiskan banyak masa dengan alam. Adalah penting kepada mereka untuk berinteraksi dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan daripada memiliki set barang mainan plastik,” kata Adele yang tidak bimbang mengenai masa depan anaknya yang tidak bersekolah itu. – MYNEWSHUB.CC