GAMBAR sepucuk ‘surat cinta’ seorang pemandu yang didakwa telah melakukan kesalahan menampal sesuatu pada cermin kenderaan miliknya, mengundang pelbagai tanda-tanya dan telah mencetuskan pelbagai spekulasi serta kritikan.
Surat saman yang dikeluarkan pada 17 Julai itu menyatakan bahawa pemilik kereta terbabit melakukan kesalahan menampal sesuatu di cermin keretanya pada jam 10:57 pagi, di Jasin, Melaka.
Berdasarkan pemerhatian kami, kesalahan yang turut disertakan pada surat saman bercetak itu menunjukkan, pelekat yang dimaksudkan itu adalah sticker larangan merokok, makan dan sebagainya yang menjadi trend segelintir pemilik kereta masa kini.
Bagaimanapun, tidak dijelaskan kesalahan itu di bawah Seksyen dan Akta Pengangkutan Jalan yang mana secara terperinci.
Susulan itu, netizen meluahkan rasa tidak puas hati mereka di laman sosial.
“Kesalahan di bawah seksyen mana, akta pengangkutan jalan mana? Dalam surat itu, ruang tersebut tidak diisi,” kata Modesa yang mempertikaikan surat saman berkenaan.
“Saya nampak banyak anggota polis kereta keluarga mereka pun ada tampal stiker, sila saman dari dalam balai dulu!” tulis Kent Lai.
“Rakyat perlukan penjelasan yang lebih mendalam. Sebelum (PDRM) melaksanakan sesuatu, tolong war-warkan di media agar pengguna tahu dan boleh bersedia,” kata Itzme Elanne.
Diharap pihak berkuasa yang berkenaan tampil memberikan penjelasan terhadap saman yang dikeluarkan agar masyarakat faham sama ada tindakan itu ada asas atau hanya kebodohan tidak berpenghujung pihak penguatkuasa. – MYNEWSHUB.CC