KANGAR – Aspek kepimpinan unggul penting dijadikan pedoman dan diamalkan oleh semua peringkat pegawai dan anggota Rejimen Askar Wataniah.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ini supaya kesinambungan kecemerlangan organisasi dalam memartabatkan visi dan misinya direalisasikan dengan jaya.
Baginda bertitah setiap anggota perlu menjadi ‘role model’ untuk diikuti oleh lapisan warga askar wataniah yang lain agar ia signifikan dalam setiap penugasan dan aktiviti ketenteraan yang dilakukan.
“Perlu diingat bahawa setiap tindakan sama ada betul ataupun salah yang dilakukan oleh anda (anggota), akan mempengaruhi warga askar wataniah yang lain sesuai dengan prinsip kepimpinan melalui tauladan,” titah baginda pada majlis sambutan Sinar Aidilfitri 1436 Hijrah anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah di Markas 30 Briged, Kem Bukit Chowder, Mata Ayer di sini hari ini.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat ke majlis itu.
Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Panglima 6 Briged‎ Brigadier Jeneral Dzulkarnain Ahmad dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Leftenan Kolonel Azhar Ahmad.
Hadir sama ke majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, ‎Ahmad Zamri Khairuddin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW).
Raja Muda Perlis yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia, Brigadier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah anggota wataniah harus dijadikan titik rujukan dalam setiap aspek berkaitan penugasan askar wataniah dan tentera darat khususnya. – BERNAMA