PENYANYI Amy Mastura, 45, memberitahu faktor jarang menceritakan kisah peribadinya kepada umum merupakan kunci kebahagiaan rumah tangga yang sudah 16 tahun dibina bersama suami, Alvin Tham Suffian.
Menurut Amy, dia bersyukur kerana sepanjang 16 tahun melayari kehidupan rumah tangga, mereka tidak berhadapan dengan masalah besar dan kehadiran dua cahaya mata menguatkan lagi hubungan.
“Sebenarnya saya tiada apa-apa rahsia tertentu tetapi sejak dahulu saya memang kurang berkongsi kisah keluarga dan saya rasa itu antara penyumbang kebahagiaan kami sekeluarga.
“Kita harus yakin bahawa kebahagiaan itu merupakan kurniaan dari Allah dan kita kena jaga amanah itu sebaik-baiknya,” kata Amy kepada mStar Online.
Amy tidak menafikan lumrah kehidupan akan wujud perselisihan faham, namun pengalaman hidup banyak membantunya menyelesaikan segala masalah yang timbul dan dia juga berasa bersyukur kerana memiliki suami yang memahami.
Amy dan Alvin berkahwin pada 30 Jun 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adriana Tham, 15 dan Adalia Tham, 11. - MYNEWSHUB.CC