KUALA LUMPUR – Bagi mereka yang akan pulang ke kampung halaman untuk sambutan Aidilfitri, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan beberapa tip penggunaan elektrik yang mudah diamalkan.
Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd. Amin berkata, sesetengah tip bersifat bijak tenaga, praktikal serta boleh dijadikan amalan rutin.
“Pertama, pastikan suis peralatan elektrik tidak digunakan ditutup dan palamnya ditanggalkan bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.
“Kedua, sekiranya perlu menyalakan lampu rumah bagi mengelakkan kecurian, sila pertimbangkan penggunaan alat pengukur masa (timer) supaya lampu tidak dipasang 24 jam sehari,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Aminuddin berkata, tip ketiga adalah memastikan semua soket dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan.
Keempat, katanya, orang ramai perlu memastikan peralatan elektrik yang perlu dipasang, dalam keadaan baik dan motor di dalam peralatan elektrik bermotor, bergerak lancar.
“Kelima, buka gulungan wayar sambungan tambahan (extension wire) sepenuhnya untuk mengelakkannya daripada menjadi terlalu panas jika digunakan,” katanya.
Mohd Aminuddin turut menasihatkan pengguna supaya menguji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) atau Residual Current Circuit Breaker (RCCB) yang sebaik-baiknya dilakukan sebulan sekali.
“Sila rujuk laman sesawangĂ‚Â www.tnb.com.my atau Facebook TNB Careline untuk mengetahui cara-cara menguji PLAB,” katanya lagi.
Selain itu beliau menasihatkan orang ramai menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk mendapatkan bantuan sekiranya gangguan bekalan elektrik berlaku. – MYNEWSHUB.CC