PERTH – Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan sedang membina sebuah rumah peranginan mewah di kawasan eksklusif di pinggir barat bandar raya Perth, Australia.
Rumah agam setinggi tiga tingkat itu bakal dibina di tepi sungai di atas tanah bekas kuarters jururawat yang dilaporkan dibeli dengan harga A$8.5 juta (kira-kira RM25.9 juta).
Menurut laporan daripada portal BBC, pada awalnya pembelian tanah itu ditentang hebat oleh pihak berkuasa tempatan kerana mahu memelihara pemandangan dari tapak Hospital Sunset, yang merupakan kawasan warisan.
Bagaimanapun, projek pembinaan itu akhirnya ‘direstui’ oleh datuk bandarnya, Max Hipkins, yang mengatakan bahawa ‘rumah elegan’ itu amat sesuai dengan keindahan sekitarnya.
Kenangan manis
Baginda sultan negeri Johor Darul Takzim itu dan Permaisuri Raja Zarith Sofiah sudah melawat Australia sejak beberapa dekad lalu dan dilaporkan amat berkenan dengan Perth yang banyak merakamkan kenangan manis percutian keluarga di tepi pantai bersama enam putera dan puteri baginda.
Dalam sebuah mesej yang dimuat naik bulan lalu bagi menandakan pengakhiran bulan Ramadan, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda amat bersyukur ke atas “kesihatan yang baik, makanan di atas meja, rumah-rumah cantik yang didiami.” -Ă‚Â MYNEWSHUB.CC