SEORANG lelaki mempunyai cara terbaik untuk menyejukkan badan dalam cuaca panas iaitu dengan menjadikan seluruh ruang tamu rumahnya sebagai kolam renang.
Hasim Kilicoglu, 36, yang menetap di Hilvan, tenggara Turki berkata, dia berbuat demikian kerana tidak tahan lagi dengan haba yang panas itu.
“Saya bekerja sebagai pelukis tetapi dengan suhu 60 darjah selsius ini, tiada siapa yang boleh bekerja atau melakukan apa-apa,” katanya.
Apabila dia menonton televisyen dan mendapati ada orang yang mempunyai kolam tertutup maka Hasim memutuskan untuk membina sebuah kolam renang di rumahnya yang mempunyai tiga bilik itu.
Apa yang membezakannya ialah Hasim tidak menggali lubang sebaliknya membina tembok batu di ruang tamu dan kemudiannya meletakkan plastik di sekeliling bagi mengelakkan air meresap melalui batu tersebut.
“Saya pastikan ia cukup dalam bagi membolehkan saya menyelam dan gembira kerana ia berhasil,” katanya yang telah membuang permaidani di lantai sebelum membina kolam tersebut.
Kolam berukuran 3 meter kali 4 meter itu kini menjadi tumpuan ramai.
Hasim turut mencadangkan kepada orang ramai untuk membina kolam sepertinya kerana ia tidak memerlukan masa yang lama.
“Walaupun keluarga saya tidak mampu bercuti tetapi saya yakin ramai yang mampu pergi bercuti itu tidak mempunyai kolam renang dalam rumah mereka,” katanya. – MYNEWSHUB.CC