KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terlebih dahulu menawarkan kerjasama dengan parti pembangkang bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin berkata, beliau sendiri terkejut dengan pelawaan oleh Mahathir tersebut namun sentiasa berwaspada dengan bekas Perdana Menteri itu.
“Ada mesej saya terima Mahathir mahu berjumpa dengan saya. Saya pun terkejut. Saya cuba mengesahkan maklumat dan sah memang beliau mahu berjumpa jumpa saya. Itu pun (pada awalnya) saya tak pergi,” tegasnya dalam satu wawancara baru-baru ini.
Mohamed Azmin mendedahkan, beliau kemudian mendapatkan kebenaran bekas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima undangan Mahathir sewaktu bekas ketua pembangkang itu dibawa ke mahkamah.
Beliau mengulas tentang deklarasi yang dianjurkan Mahathir dengan kerjasama pemimpin Pakatan Harapan termasuk dirinya pada Mac lalu.
Mahathir dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan bekerjasama menganjurkan deklarasi yang kononnya digelar sebagai `deklarasi rakyat’ itu bagi menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mahathir dipercayai berbuat demikian kerana berdendam dengan Najib yang enggan memenuhi kepentingannya dalam beberapa perkara termasuk berhubung pembinaan jambatan bengkok di Johor.
Bekas Perdana Menteri itu juga berdendam dengan Najib kerana usahanya untuk `mengangkat’ anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri manakala pengikut setianya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri gagal.
Sejurus kerjasama itu termeterai, Anwar menerusi seutus surat dari penjara menyelar kerjasama itu sambil memberi peringatan kepada seluruh parti gabungan Pakatan Harapan agar tidak terperangkap dengan kelicikan Mahathir memperjuangkan agenda peribadinya. – MYNEWSHUB.CC