KUALA LUMPUR – Peninju profesional negara, Muhamad Farkhan Haron memahat nama selaku petinju pertama Malaysia merangkul tali pinggang Majlis Tinju Asia (WBC) kategori cruiserweight, semalam.
Sejarah itu dilakar pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 itu di Far East Square, Singapura apabila mudah menumbangkan peninju Indonesia, Elly Pangaribuan secara ‘technical knockout’ (TKO).
Farkhan, 28, yang sebelum ini menyepikan diri seketika dari arena tinju negara bermula garang apabila kerap melepaskan tumbukan ke bahagian rusuk Pangaribuan seawal pusingan pertama.
Belum sempat, dia kembali memberi tentangan ke atas Farkhan yang memenangi tali pinggang Persatuan Tinju Asia Pasifik tahun lalu, akhirnya Pangaribuan terduduk selepas terkena tumbukan bahagian rusuk di pusingan kedua, sekali gus memaksa pengadil menghentikan pertarungan.
“Syukur dengan kemenangan ini. Saya tujukan ia buat semua bangsa Johor dan rakyat Malaysia terutamanya kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak memberikan sokongan.
“Jadi saya berharap dengan kemenangan ini dapat membuka mata banyak pihak bahawa ada peninju Malaysia yang berkaliber.
“Saya tidak menyangka. Semasa pertarungan tadi, saya tak nampak tumbukan saya mengenai muka atau perutnya.
Tetapi selepas dia terjatuh buat kali kedua, saya mula rasa lebih yakin,” katanya. Seorang lagi wakil negara, Muhammad Meeraj Omar tumbang di pusingan pertama di tangan wakil Kanada, Ryan Ford dalam kategori light heavyweight.
Nasib sama menimpa Rahmat Munabjad bagi kategori super lightweight, biarpun dilihat agresif pada pusingan pertama ketika berdepan wakil tuan rumah Edgar Ang, namun akur apabila tewas dengan keputusan sebulat suara. – BHarian Online