KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melakukan tinjauan mesra ke hab pengangkutan bersepadu, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, dekat sini.
Najib yang berbaju kemeja putih dan berseluar hitam tiba di lobi utama terminal pada 5.20 petang sebelum bersalaman serta mengedarkan bungkusan kuih dan duit raya kepada orang ramai yang berada di terminal berkenaan.
Beliau yang kelihatan santai turut bertanya khabar mengenai destinasi perjalanan warga kota pulang berhari raya.
Najib yang meluangkan masa hampir sejam turut mendekati pemandu bas yang bersedia berlepas ke destinasi perjalanan ke utara bagi mengedarkan bungkusan kuih dan duit raya.
Lawatan turun padang itu bagi mendekati warga kota dan TBS dipilih kerana menjadi tempat tumpuan orang ramai yang ingin pulang menyambut Aidilfitri.
Pengarah Urusan Maju Terminal Management and Services (TMAS) Sdn Bhd Roslan Shariff berkata dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut menemui 60 pemandu bas dan berpesan agar mereka berhati-hati ketika memandu di jalan raya.
“Perdana Menteri berpesan kepada pemandu bas agar memastikan tiba di destinasi perjalanan dengan selamat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan Najib.
Roslan berkata lebih 2,200 pelepasan dan ketibaan bas ekspres dan 60,000 pengunjung dianggarkan menggunakan perkhidmatan di TBS yang beroperasi selama 24 jam sepanjang musim perayaan ini.
“Ini fenomena istimewa (kunjungan Najib) kami di TBS dan para pengunjung… tidak disangka perdana menteri sudi bersama kami untuk memeriahkan episod balik kampung melalui TBS,” katanya.
Menurutnya, 500 kakitangan TBS bertugas sepanjang perayaan ini bagi melancarkan operasi dan perkhidmatan di stesen bas bersepadu itu.
Najib merasmikan TBS yang bernilai RM570 juta pada 14 April 2013 yang merupakan stesen bas bersepadu yang memberi perkhidmatan bas ke seluruh destinasi di Semenanjung. – BERNAMA