KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada Theresa May atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu.
Najib berkata beliau berharap dapat bekerja dengan May bagi terus mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara United Kingdom (UK) dan Malaysia.
“Tahniah@theresa_may. Harap dapat bekerjasama dengan anda bagi terus mengukuhkan hubungan UK-Malaysia, khususnya perdagangan dan pelaburan,” kata Najib menerusi akaun Twitter @NajibRazak di sini, hari ini.
May, 59, yang juga Setiausaha Negara UK mengambil alih jawatan berkenaan selepas bekas Perdana Menteri UK David Cameron meletak jawatan berikutan, referendum pada bulan lepas yang mengakibatkan Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
May yang merupakan pemimpin Parti Konservatif menjadi perdana menteri wanita kedua UK, mengambil alih tampuk kepimpinan ketika saat paling getir dalam sejarah politik, Eropah, baru-baru ini. – BERNAMA