KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam Malaysia supaya menginsafi keadaan di kebanyakan negara Islam lain yang musnah disebabkan oleh perpecahan umatnya.
Kata beliau, situasi itu menyebabkan kebanyakan umat Islam di negara-negara terbabit terpaksa menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dengan keadaan yang sangat lemah.
“Banyak tanah air umat Islam sedang dilanda perpecahan dan peperangan saudara. Negara-negara umat Islam jauh ketinggalan dari segala sudut berbanding negara bukan Islam.
“Semoga Aidilfitri kali ini memberikan sinar harapan yang gemilang buat seluruh umat Islam,” katanya dalam satu perutusan bersempena perayaan Aidilfitri tahun ini.
Abdul Hadi bagaimanapun tetap menyeru umat Islam supaya menyambut Aidilfitri dengan semangat kemenangan dan taqwa yang telah berjaya dibina di sepanjang Ramadan.
“Raikanlah Aidilfitri kali ini dengan semangat membara untuk terus bekerja sekuat daya untuk menegakkan agama Allah S.W.T,” katanya. – MYNEWSHUB.CC