SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan kerana memiliki dadah disyaki heroin dalam Op Selamat 9/2016 di Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Petani Utara, di sini, awal pagi tadi.
Komander Sub-Markas Tektikal (Subtek) Op Selamat 9/2016 Zon Utara, Supt Ahmad Adnan Basri berkata lelaki yang membonceng motosikal itu ditahan dalam sekatan di KM99.6 arah utara.
“Dalam sekatan itu, dua lelaki tempatan ditahan untuk pemeriksaan iaitu penunggang dan pembonceng motosikal, penunggang berusia 23 tahun didapati tidak mempunyai lesen memandu manakala rakannya yang membonceng ditangkap kerana memiliki satu peket kecil dadah dipercayai jenis heroin di dalam poket seluarnya,” katanya kepada Bernama hari ini.
Operasi yang bermula pukul 10 malam dan berakhir kira-kira 2 pagi tadi di dua lokasi iaitu KM99.6 arah utara dan KM99.8 arah selatan disertai lima pegawai dan 60 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, katanya.
Beliau berkata sebanyak 155 saman dikeluarkan sepanjang operasi tersebut meliputi 76 saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan manakala 79 saman bagi pelbagai kesalahan.
Terdapat juga saman yang dikeluarkan terhadap kenderaan asing dari negara jiran, kebanyakannya atas kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan dan salah guna permit membawa barangan, tambahnya.
Ops Selamat 9/2016 Zon Utara yang bermula pada 29 Jun lalu akan berakhir hari ini. – BERNAMA