SEORANG lelaki dan wanita yang bertelanjang menaiki sebuah mesin pemotong rumput ditahan pihak berkuasa di Amerika Syarikat kerana didakwa mencuri sebuah mesin pemotong rumput.
Menurut laman berita tempatan, kejadian aneh yang berlaku pada 18 Julai lalu di Missouri itu melibatkan suspek seorang lelaki berusia 55 tahun dan wanita berusia 40 tahun.
Berdasarkan laporan dari pejabat polis wilayah Jasper, detektif Tim Williams berkata, pasangan itu mengaku bahawa mereka menaiki mesin pemotong rumput itu dalam keadaan berbogel.
Tambah Williams, kedua-dua mereka turut memberitahu bahawa mereka terpaksa mencuri mesin rumput itu setelah pakaian mereka dicuri ketika sedang mandi di sebatang sungai.
Jelasnya lagi, setelah menjalankan siasatan, pihak polis mengesahkan bahawa mesin rumput yang dinaiki oleh pasangan suspek yang diparkir di hadapan halaman rumah mereka adalah hasil curian.
Bagaimanapun, pihak mahkamah Jasper County belum mendakwa pasangan berkenaan dan perbicaraan berkenaan kes tersebut akan diadakan pada petang Khamis akan datang. – MYNEWSHUB.CC