KUALA LUMPUR- Gara-gara berkhayal di bawah pengaruh dadah, sepasang kekasih ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis dan cuba menceroboh masuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Honda CRZ Hybrid merah dalam kejadian kira-kira jam 10 malam pada Selasa, selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui tujuh mercun bola dalam beg suspek.
“Suspek berada di bawah pengaruh dadah dan kejadian tiada kaitan dengan ancaman keganasan,” katanya memetik laporan agensi berita Bernama.
Zainol berkata pemeriksaan ke atas suspek turut menemukan tujuh biji mercun bola yang disimpan di dalam beg pasangan itu.
Dalam pada itu, hasil ujian saringan air kencing yang dibuat ke atas kedua-dua saspek mendapati mereka positif dadah jenis metamfetamin.
Suspek kini ditahan reman tiga hari sehingga Jumaat dan kes disiasat di bawah Seksyen 448/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. -MYNEWSHUB.CC