KUANTAN, 4 Julai (Bernama) — Seorang pekerja kontrak maut selepas kereta yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 88 Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran simpang ke Kota Perdana, Pekan dekat sini pada pukul 4 petang ini.
Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata mangsa Mohamad Ridhuan Mohamad Hashim, 24, yang memandu Proton Persona disahkan meninggal dunia pada pukul 5.15 petang semasa menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah, dekat sini.
“Kemalangan dipercayai berpunca apabila bas yang membawa 19 penumpang menghala ke Segamat melanggar bahagian kiri kereta mangsa yang sedang membelok masuk ke simpang ke Kota Perdana di sebelah kanan.
“Siasatan mendapati mangsa yang beralamat di Perumahan Dara Kota Perdana dipercayai cuai kerana membelok masuk ke kanan dan tidak memberi laluan kepada kenderaan yang bergerak lurus,” katanya semasa dihubungi di sini, malam ini.
Mohd Noor berkata pemandu bas ekspres milik syarikat Transnasional Sdn Bhd itu Rashid Yusof, 53, dan semua penumpang bas tidak mengalami kecederaan.
Katanya, polis telah mengambil sampel darah dan air kencing pemandu bagi ujian toksikologi. – BERNAMA