IPOH – Seorang pemandu bas cedera parah manakala tujuh penumpang cedera selepas sebuah bas persiaran dari Pulau Pinang ke Genting Highlands merempuh bahagian belakang sebuah lori treler di Kilometer 310.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, awal pagi tadi.
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng Norzamri A. Wahab berkata terdapat 20 lagi penumpang yang berada dalam bas berkenaan dalam kejadian 1.42 pagi itu.
Bagaimanapun, kesemua penumpang berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu bas yang cedera parah akibat tersepit di bahagian depan bas berjaya dibawa keluar menggunakan ‘rescue tool’ (peralatan menyelamat).
“Difahamkan, pemandu lori berkenaan melanggar bahagian belakang lori treler yang sedang bergerak perlahan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pemandu bas berumur 40-an itu bersama penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan.
Norzamri berkata sembilan anggota termasuk seorang pegawai dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dikejarkan ke tempat kejadian dan operasi berkenaan tamat pada 2.44 pagi tadi. – BERNAMA