KUANTAN – Seorang pendaki nyaris maut setelah terjatuh ke dalam gaung ketika sedang mendaki Bukit Raka di Bentong.
Sebelum kejadian lebih kurang 10.40 pagi itu mangsa Victor Lo Soo Teck, 54, dari Petaling Jaya, Selangor dikatakan memulakan pendakian bersama 12 rakan lain pada 8.30 pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.53 pagi daripada salah seorang kawan mangsa.
“Kami terus bergegas ke tempat kejadian yang mengambil masa hampir dua jam.
“Semasa tiba di lokasi terdapat seorang lelaki terbaring pengsan yang kemudian sedar semula dan kami mendapati lelaki ini mengalami kecederaan pada kaki kanan dan pinggang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Zainal Abidin berkata Victor terjatuh kira-kira 500 meter dari lereng bukit.
Beliau berkata dipercayai laluan pendakian yang licin menyebabkan mangsa tergelincir.
“Dengan bantuan daripada pihak lain antaranya Majlis Perbandaran Bentong kita berjaya membawa turun mangsa ke bawah hampir pukul 5 petang,” katanya.
Katanya mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan lanjut. – BERNAMA