TAHNIAH diucapkan kepada pengacara dan penerbit Dahlia Shazwan yang bakal menamatkan zaman solonya sekali gus bergelar isteri pada Jumaat ini.
Dahlia yang popular menerusi program hiburan HLive di Astro, akan mendirikan rumah tangga bersama jejaka idamannya, Shafiq Ismet yang merupakan seorang eksekutif pemasaran.
Majlis pernikahan pasangan ini bakal diadakan di ibu kota manakala, majlis resepsi mereka pula akan berlangsung di sebuah hotel terkemuka pada 31 Julai.
Rancangan HLive dilaporkan akan merakam majlis pasangan ini menerusi dua episod dalam program yang diberi nama Menuju Halal.
Pada majlis penuh bersejarah dan indah itu, Dahlia memilih untuk menggayakan busana rekaan Hatta Dolmat pada majlis pernikahan, manakala pada majlis resepi busana hasil Ashraf Zainal menjadi pilihan.
“Kerja kahwin bukan sesuatu yang mudah. Saya sendiri memang berasa gementar menjelang hari berkenaan, tetapi pada masa sama saya mengharapkan penamat yang indah.
“Apa yang lebih penting ialah fasa selepas saya berkahwin nanti,” katanya kepada Berita Harian.
Pasangan ini telah bertunang tujuh bulan lalu sebelum sepakat untuk mendirikan rumah tangga.
Semoga urusan perkahwinan pasangan ini menjadi lancar. – MYNEWSHUB.CC