GARA-GARA pembukaan cawangan IKEA terbaharu di Berkshire, United Kingdom (UK), ramai pengunjung yang tersekat di kawasan parkir kereta sehingga 4 jam lamanya!
Ia sebenarnya merupakan cawangan IKEA yang terbaharu di UK dalam masa tujuh tahun, maka tidak menghairankan apabila begitu ramai yang teruja untuk berkunjung ke sini.
Menurut akhbar The Guardian, kesesakan ‘luar biasa’ yang terjadi membuatkan kebanyakkan pengunjung mula ‘naik angin’ sehingga berlakunya pertengkaran kecil sesama mereka.
Ramai yang hilang sabar dan mula bertekak dengan pekerja di situ dengan berkata: “Apa dah jadi ni?”, sedangkan mereka sendiri pun tiada jawapannya.
Bunyi hon kedengaran sepanjang tempoh itu sehingga ada pemandu terpaksa keluar dari kereta sebelum polis dipanggil untuk meleraikan kesesakan itu.
Seorang pelanggan yang berada di kawasan parkir tampil berjenaka sinis dengan mengatakan: “Adalah lebih mudah keluar dari Eropah berbanding nak keluar dari gedung perabot ini,”.
Kejadian yang sama juga pernah dilaporkan berlaku pada 2005 ketika pembukaan IKEA di Edmonton, utara London.
Seramai 6,000 orang terperangkap dalam kesesakan sehingga menyebabkan kecederaan dan juga keletihan luar biasa akibat kepanasan. – MYNEWSHUB.CC