KEPADA pasangan yang baru berkahwin dan pertama kali berhari raya di rumah mertua, pasti teruja untuk mengalami suasana baru dengan keluarga pasangan.
Ketika itu pelbagai perasaan dan tanda tanya bermain di fikiran. Maklumlah jika selama ini berhari raya dengan keluarga sendiri, pada kali ini di tempat orang lain akan memberi suatu pengalaman baru dan secara tidak langsung menimba pengalaman mempelajari budaya dan adat istiadat pasangan.
Walaupun tidak dinafikan perasaan sedih tetap ada kerana tidak berhari raya dengan keluarga sendiri dan sanak saudara di kampung halaman, namun saat pertama berhari raya dengan keluarga mertua adalah momen penting dalam sejarah perkahwinan.
Di sini kami kongsikan beberapa tips daripada sebuah laman butik pengantin yang ‘wajib’ dilakukkan bagi mengukuhkan lagi ikatan silatulrahim buat bakal pengantin yang tidak biasa dengan persekitaran baharu.
Kenali adat dan budaya pasangan
Setiap keluarga mempunyai cara dan adat tersendiri dalam meraikan hari raya. Anda perlu menyesuaikan diri dalam keluarga pasangan dan mengikut rentak mereka dalam menyambut hari raya. Sehubungan itu setiap pasangan perlu ada sikap terbuka dan sentiasa cuba untuk menyesuaikan diri dalam suasana baru serta mengambil inisiatif mahu belajar tentang budaya suami atau isteri.
Sebelum balik ke rumah mertua, tanya pasangan bagaimana persiapan hari raya di tempat beliau. Buat sedikit kajian tentang latar belakang keluarga pasangan dan bagaimana kebiasaannya mereka menyambut raya.
Apabila sudah mendapat sedikit info, cuba tanya pasangan apa yang kebiasaan dibuat oleh keluarga pasangan ketika sambutan hari raya oleh keluarga mereka. Umpamanya masakan yang istimewa, cara sambutan yang menjadi tradisi keluarga mereka dan sebagainya. Ada keluarga yang ketika hari raya akan berkonvoi ke rumah saudara mara dan jiran-jiran di kampung dan ada juga keluarga yang menunggu ahli keluarga lain datang berkunjung.
5 cara bantu persiapan
Tradisi menyambut hari raya tidak sama antara satu negeri dengan yang lain. Masing-masing mempunyai cara tertentu menyambut perayaan mengikut tradisi yang telah ditentukan masyarakat dalam satu-satu kawasan dan tempat.
1. Oleh itu jika pertama kali menyambutnya di rumah mertua bagi lelaki mereka perlu banyak membantu kerja berat seperti mengangkat periuk dan melapah daging serta membersihkan ayam untuk dibuat juadah. Bagi wanita pula berhari raya di rumah mertua lebih memerlukan komitmen yang tinggi untuk memeriahkan suasana hari raya dengan memasak dan mengemas rumah untuk keluarga pasangan. Mereka mesti lebih rajin daripada hari biasa.
2. Hari raya adalah hari bergotong royong. Justeru mereka yang baru pertama kali menyambutnya di rumah pasangan perlu menunjukkan sikap suka membantu dan mempelajari sesuatu yang baru dalam keluarga pasangan. Jika tidak tahu banyak perkara `ringankan mulut’ bertanya. Ini akan membuatkan seluruh ahli keluarga senang dengan sikap ramah dan suka membantu.
3. Jika ahli keluarga pasangan ada cara tertentu menyambut Syawal, cuba hormati budaya pasangan. Ikut dan jangan mengkritik bagi mengelakkan konflik dan salah faham. Jangan memandang rendah pada adat pasangan dan sentiasalah menerima sesuatu yang baru dalam kehidupan dengan hati yang terbuka.
4. Perlu diingat apabila sudah berkahwin, anda melangkah ke alam baru, perkahwinan adalah penyatuan dua hati dan dua keluarga. Menyambut hari raya di rumah mertua adalah permulaan penyesuaian dalam sebuah kehidupan berumah tangga.
5. Jika anda boleh menyesuaikan diri dalam keluarga pasangan, tidak kira waktu perayaan atau hari-hari biasa, ini suatu petanda baik bahawa perkahwinan boleh berpanjangan kerana sifat berkompromi sudah ditanam dalam jiwa dan insya-Allah restu ahli keluarga kedua belah pihak akan mengiringi kebahagiaan pasangan hingga akhir hayat. -MYNEWSHUB.CC
Sumber: Pesonapengantin