SEORANGÂ peserta pertandingan ratu cantik remaja yang menjadi salah seorang peserta pilihan, telah dibuang daripada pertandingan berkenaan selepas didapati membuli seorang remaja lain ketika zaman persekolahan lalu.
Jennifer Folgar telah dipilih mewakili bandar Coban di Guatemala untuk menyertai Miss Teen Latina namun sebaik sahaja namanya disenaraikan dalam pertandingan itu, satu rakaman video yang memaparkan dia membuli seorang pelajar di sekolahnya telah tersebar di Internet.
Keadaan ini memaksa penganjur menggugurkan namanya daripada pertandingan Miss Teen Latina.
Dalam video berkenaan, Jennifer dirakamkan menolak seorang remaja perempuan ke dinding sebelum menampar mukanya.
Dia kemudiannya telah mencerca remaja terbabit. Video itu telah tersebar dengan cepat sebaik sahaja namanya dicalonkan untuk mewakili Coban pada pertandingan terbabit.
Dalam pada itu, penganjur pertandingan dalam satu kenyataan memberitahu pertandingan berkenaan bukan sahaja memaparkan kecantikan rupa paras sebaliknya ia berkait juga dengan nilai moral dan etika.
“Justeru disebabkan berlaku sesuatu di luar kawalan kami, maka peserta yang mewakili Coban terpaksa disingkirkan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC